Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub tidak akan campur tangan mengenai penahanan Setiausaha Politiknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Isnin.

Beliau berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai penahanan itu untuk siasatan SPRM.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak SPRM dan saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya. Beliau juga seperti rakyat Malaysia yang lain yang tertakluk kepada undang-undang.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang dan saya yakin dan percaya pihak SPRM akan menyiasat kes ini dengan adil dan bebas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Terdahulu, seorang setiausaha politik ditahan kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000.

BACA: SPRM tahan Setiausaha Politik terima jam tangan RM28,000