Tutup

Menyelesaikan kesesakan lalu lintas di sempadan Malaysia-Singapura jadi keutamaan

Menyelesaikan kesesakan lalu lintas di sempadan Malaysia-Singapura jadi keutamaan
Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menyelesaikan kesesakan lalu lintas di pintu masuk Malaysia-Singapura di Tambak Johor dan Linkedua adalah keutamaan bagi Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata isu itu terus menjadi masalah besar bagi pengguna yang berulang-alik dari Malaysia dan Singapura.
"Pada masa ini, terdapat kira-kira 250,000 hingga 300,000 orang yang menyeberangi tambak ini pada setiap hari. Menyelesaikan kesesakan itu menjadi keutamaan bagi Malaysia," katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di akhir Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata Malaysia dan Singapura komited untuk menangani isu itu dan akan terus meneroka inisiatif baharu bagi menanganinya.
"Ini termasuk menambah baik infrastruktur fizikal, menyemak semula dasar dan peraturan antara sempadan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan rentas sempadan," katanya.

Sementara itu, Lee berkata Dr Mahathir menarik perhatian bahawa Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) tidak akan menyelesaikan masalah bagi penunggang motosikal yang menyeberangi sempadan Singapura-Malaysia, justeru terdapat keperluan untuk memperluaskan kapasiti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di kedua-dua pihak.

"Singapura merancang untuk terus memperluaskan CIQ kami dan perkara ini akan mengambil sedikit masa tetapi pada akhirnya, kami akan mengadakan perancangan yang signifikan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

-- BERNAMA


Tag: kesesakan lalu lintas di sempadan Malaysia-Singapura, pintu masuk Malaysia-Singapura, Tambak Johor, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, sempadan Malaysia Singapura, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Kastam Imigresen dan Kuarantin



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.