Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan mesej berkaitan takwim persekolahan terbaharu yang tersebar di aplikasi WhatsApp adalah palsu.

Mesej tersebut rancak disebarkan sejak tengah hari tadi, memaparkan tarikh pembukaan semula sekolah bagi semua peringkat persekolahan termasuk pra sekolah.


"Sebarang maklumat berkenaan takwim pembukaan semula sekolah hanya akan dibuat melalui medium rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia sahaja," kata KPM menerusi satu entri di Twitter.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga menafikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ada mengeluarkan kenyataan mengenai jadual pembukaan semula sesi persekolahan dan universiti.

Orang ramai diminta merujuk platform rasmi kerajaan dan portal Sebenarnya.my untuk memastikan kesahihan berita yang diterima.