Mesir kini berusaha meraih sokongan bagi memastikan negara jirannya Sudan dikeluarkan daripada senarai penaja keganasan oleh Amerika Syarikat.

Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry berkata Kaherah sedang bekerjasama dengan Washington dan negara lain untuk menjayakan usaha itu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Luar Sudan, Asmaa Abdalla di ibu negara Sudan, Khartoum pada Isnin

Pada 1993, Amerika menamakan Sudan sebagai negara yang menaja keganasan dan gelaran tersebut kekal sepanjang pemerintahan bekas presiden, Omar al-Bashir.

Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pentadbiran Presiden Amerika, Donald Trump mengenai perkara tersebut.

Memetik laporan portal berita Xinhua, Hamdok menegaskan pentingnya usaha untuk mengeluarkan Sudan daripada ‘senarai hitam’ tersebut.

“Sudan mesti dikeluarkan daripada senarai itu dan kami jangka tidak lama lagi terdapat kemajuan dalam hal ini. Cabaran ekonomi sangat besar, tetapi ia boleh ditangani.

"Kita perlu tangani kemerosotan harga pertukaran, menamatkan inflasi dan memulihkan keyakinan dalam sektor perbankan," Hamdok ketika bertemu dengan Menteri Luar Jerman, Heiko Maas.

Sementara itu, Maas berjanji untuk mengetengahkan isu tersebut di peringkat antarabangsa dan kerajaan Sudan perlu berusaha untuk mencapainya.

Katanya, Jerman juga akan terus menyokong usaha Sudan meningkatkan ekonomi dan mendesak masyarakat antarabangsa turut sama membantu.