Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, jawatankuasa khas e-rokok yang baharu ditubuhkan akan mengadakan mesyuarat pertamanya esok.

Katanya, agenda utama jawatankuasa khas itu adalah mengkaji kandungan cecair perisa vape mengikut Akta Racun 1952 bagi menentukan sama ada ia mempunyai bahan yang boleh menjejaskan kesihatan atau tidak.

Menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan bertanggungjawab melindungi kesihatan orang ramai sebelum meluluskan produk vape yang kini diragui pelbagai pihak, khususnya golongan ibu bapa.

Pihaknya juga akan meneliti kandungan cecair nikotin yang dihasilkan penjual vape, dan jika wujud bahan terlarang yang bercanggah dengan Akta itu, maka tindakan kawalan seterusnya akan dirangka.

"Isu kita bukan mengenai vape, isu kita adalah bahan dalam kandungannya. Sekarang adalah isu keselamatan kesihatan dan juga tempoh jangka panjang yang digunakan terhadap bahan kandungan itu", katanya selepas majlis gotong-royong mega peringkat kebangsaan di Kampung Sungai Ara hari ini.

Selain itu, kementerian juga akan meneliti cadangan dikemukakan persatuan vape dan memberi pandangan bersesuaian, selain mencari titik persamaan untuk merungkai isu berkenaan.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas e-rokok bagi menjawab segala isu berkaitan rokok elektronik atau vape.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam memaklumkan bahawa jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh Dr Noor Hisham.

Menurut beliau, sebarang kenyataan hanya akan dikeluarkan jawatankuasa itu bagi memastikan usaha merangka kawalan terhadap vape, dapat dilaksanakan secara menyeluruh.