Sembilan Raja-Raja Melayu bermesyuarat hari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang akan bersemayam bagi tempoh lima tahun.

Satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dijadual berlangsung pada jam 10.30 pagi ini di Istana Negara.

Kekosongan itu susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V mengikut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lalu, pertama kali terjadi dalam sejarah institusi beraja di negara ini.

Menurut Seksyen 2, Jadual ke-3 Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada raja yang layak dipilih, yang negerinya di kedudukan pertama dalam senarai pilihan.

BACA: Tiga sebab mengapa seseorang Raja tidak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong

Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kini dipegang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang turut memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong sehingga urusan pelantikan ketua utama negara yang baharu selesai.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

BACA: Lapan fakta mengenai pengundian Yang di-Pertuan Agong

Sistem penggiliran dalam kala­ngan sembilan Raja-raja Melayu kini memasuki pusingan kedua yang menyaksikan Raja-raja Melayu dari enam negeri telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tinggal tiga lagi Raja-raja Melayu dari Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan pusingan kedua sistem penggiliran itu.