Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Mewajibkan pemakaian pelitup muka: Kesan, implikasi dan saranan

Mewajibkan pemakaian pelitup muka: Kesan, implikasi dan saranan
Terdapat pelbagai jenis pelitup muka fabrik di pasaran. Sebaik-baiknya dapatkan yang terdiri daripada fabrik kalis air (bahagian luar), penapis (di tengah) dan fabrik serap air (di dalam). - Gambar hiasan
KERAJAAN kini mewajibkan pemakaian pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam bermula 1 Ogos 2020.

Ini adalah rentetan daripada peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini. Jika dilihat disekeliling kita, ramai memilih untuk memakai pelitup muka pakai buang 3 lapis.

Namun, tahukah anda bahawa, bagi individu yang sihat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menggalakkan penggunaan pelitup muka fabrik.

Terdapat pelbagai jenis pelitup muka fabrik di pasaran. Sebaik-baiknya dapatkan yang terdiri daripada fabrik kalis air (bahagian luar), penapis (di tengah) dan fabrik serap air (di dalam).
Kajian menunjukkan bahawa keupayaan pelitup muka fabrik untuk menghalang virus adalah berbeza berdasarkan jenis fabrik.

Tetapi ianya adalah lebih baik daripada tidak memakai langsung pelitup muka atau memakai pelitup muka pakai buang yang kotor atau dikitar semula.
Bukti keberkesanan pelitup muka fabrik

Pemakaian pelitup muka fabrik disarankan sebagai  penghadang yang mudah yang dapat membantu menghalang cecair pernafasan daripada  bergerak / merebak ke udara dan orang sekeliling  apabila pemakai pelitup muka batuk, bersin, bercakap dan meninggikan suara.

Ini dinamakan pengekangan punca jangkitan (source control).

Pemakaian pelitup muka di tempat awam dan kawasan yang sesak diwajibkan bermula pada 1 Ogos. - Infografik Astro AWANI

Saranan ini berdasarkan kepada apa yang telah kita ketahui berkaitan  peranan cecair pernafasan dalam menyebarkan virus penyebab COVID-19 dan dikukuhkan lagi oleh hasil kajian klinikal  dan makmal yang menunjukkan penggunaan pelitup muka dapat mengurangkan percikan cecair pernafasan apabila dipakai dengan menutup bahagian mulut dan hidung.

COVID-19 merebak terutamanya dikalangan orang ramai yang jarak kedudukan yang sangat rapat antara satu sama lain iaitu kurang daripada 6 kaki.

Oleh itu penggunaan pelitup muka fabrik adalah sangat penting apabila berada dalam keadaan sesak dimana penjarakan sosial tidak dapat dilakukan.

Siapa yang patut memakai pelitup muka fabrik?

Individu berumur dua tahun ke atas boleh memakai pelitup muka fabrik di kawasan awam dan semasa bertemu orang lain yang tidak tinggal serumah dengan mereka, terutamanya jika penjarakan sosial sukar  dikekalkan.

COVID-19 boleh tersebar melalui individu tidak bergejala dan individu yang tidak tahu bahawa mereka dijangkiti.

Oleh itu, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial ketika di tempat awam adalah sangat penting.

Namun terdapat dua golongan yang tidak sesuai memakai pelitup muka fabrik iaitu:
  • Individu yang berkemungkinan dijangkiti COVID-19
  • Jika anda berkemungkinan dijangkiti ( dalam tempoh kuarantin), jangan ke tempat awam
  • Individu yang menjaga pesakit COVID-19
Golongan di atas perlu memakai pelitup muka pakai buang 3 lapis.

Siapa yang tidak dibenarkan memakai pelitup muka fabrik?
  • Kanak-kanak yang berumur kurang daripada 2 tahun
  • Individu yang mempunyai masalah pernafasan
  • Individu yang tidak sedarkan diri dan tidak upaya untuk membuang sendiri pelitup muka tanpa bantuan
Praktikaliti dan Adaptasi

Pelitup muka fabrik mungkin tidak sesuai dipakai oleh semua orang  pada setiap masa. Dalam keadaan tertentu, pemakaian pelitup muka fabrik boleh menyebabkan masalah pernafasan, ketidakselesaan dan sebagainya. Justeru, sedikit adaptasi perlu dilakukan supaya pemakaian pelitup muka fabrik menjadi lebih praktikal. Antara contoh adaptasi yang boleh dillakukan:
  • Pelajar sekolah: mungkin menghadapi masalah untuk memakai pelitup muka pada masa yang lama semasa di sekolah. Jadi pemakaian pelitup muka perlu diberi keutamaan apabila sukar untuk mengekalkan jarak sosial  contohnya di dalam bas atau van sekolah dan semasa beratur. Ibu bapa perlu memastikan pelajar memakai pelitup muka yang bersaiz sesuai yang elok melekap pada muka pelajar.
  • Berenang:Tidak perlu memakai pelitup muka apabila melakukan  aktiviti yang menyebabkan pelitup muka fabrik basah, contonhya berenang. Pelitup muka yang basah menyukarkan proses pernafasan. Penjarakan sosial perlu dipastikan semasa berenang samada di kolam atau di pantai.
  • Bersukan:Bagi individu yang terlibat dengan aktiviti seperti berjogging, pemakaian pelitup muka mungkin menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Jika tidak boleh memakai pelitup muka, pastikan melakukan aktiviti di kawasan lapang, mempunyai pengudaraan yang baik dan mengamalkan penjarakan sosial.
Bagaimana mengendalikan pelitup muka fabrik?

Semasa memakai
  • Pastikan memakai pelitup muka bersaiz sesuai dengan muka
  • Tidak menyentuh bahagian luar pelitup muka
  • Memastikan hidung dan mulut ditutup sempurna
  • Tidak meletakkan pelitup muka di bawah dagu atau di merata-rata tempat
Semasa menanggalkan
  • Memegang tali untuk menanggalkan pelitup muka
  • Elak memegang bahagian luar
  • Lipat dan simpan di dalam plastik atau beg kertas
  • Basuh tangan dengan sabun dan air atau ‘hand sanitizer’

Semasa membasuh
  • Pastikan anda mempunyai lebih daripada satu pelitup muka untuk tujuan penggiliran
  • Basuh pelitup muka setiap hari
  • Jika menggunakan mesin basuh:
    • Boleh campurkan dengan pakaian lain
    • Guna sabun dan air panas
  • Jika mencuci dengan tangan:
    • Basuh dengan air dan sabun, kemudian rendam dengan cecair peluntur dan bilas atau
    • Rendam dengan sabun dan air panas (suhu 60 celcius)
Penghadang Muka (Face Shield)

Penghadang muka tidak diketahui jika mempunyai sebarang kelebihan sebagai pengekang punca jangkitan untuk melindungi orang ramai daripada percikan cecair pernafasan. 

Oleh itu Center of Disease Control (CDC) tidak menyarankan penggunaan penghadang muka untuk aktiviti harian yang normal atau pun sebagai pengganti pelitup muka fabrik.

Sesetengah orang mungkin memilih untuk menggunakan penghadang muka apabila berada di tempat yang sesak.

Perlu diingatkan bahawa jika penghadang muka digunakan tanpa pelitup muka, menghadang muka mesti menyelubungi bahagian tepi dan bahagian bawah dagu pemakai.

Pemakaian penghadang muka pakai buang hendaklah digunakan untuk sekali pakai sahaja.

Manakala penghadang muka yang boleh digunakan semula hendaklah dicuci dan dinyahkuman setiap kali menggunakannya.

Penggunaan  penghadang muka plastik untuk bayi dan kanak-kanak dibawah umur setahun adalah tidak disarankan.

Pelitup Muka Pakai Buang 3 Lapis

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ‘mewajibkan’ penggunaan pelitup muka pakai buang 3 lapis kepada individu yang berkemungkinan mempunyai gejala COVID-19 dan golongan berisiko iaitu:
  • Umur lebih 60
  • Pesakit kencing manis
  • Pesakit paru-paru kronik
  • Pesakit kanser
  • Pesakit stroke
  • Pesakit berimuniti rendah seperti HIV, kemoterapi
Berbanding dengan pelitup muka fabrik, pelitup muka pakai buang 3 lapis mempunyai kos jangka panjang yang agak tinggi.

Kos pelitup muka pakai buang 3 lapis adalah sekitar 70 sen hingga RM1.

Bayangkan jika suami isteri bekerja dan mereka mempunyai lima orang anak yang bersekolah, mereka perlu membelanjakan RM7 sehari dan lebih kurang RM150 hanya untuk membeli pelitup muka. 

Berikut cara membuang pelitup muka 3 lapis pakai buang (surgical mask) yang disarankan oleh KKM. - Foto KKM

Masalah ini boleh membawa kepada masalah lain iaitu memakai pelitup muka hanya untuk mengelakkan daripada didenda, bukan untuk melindungi diri daripada ancaman virus.

Antara amalan yang telah dipraktikkan sebilangan masyarakat ialah:
  • Memakai pelitup muka pakai buang berhari-hari sehingga rosak atau koyak
  • Mengutip pelitup muka yang dibuang untuk dijual atau dipakai sendiri
  • Berkongsi pelitup muka
Amalan-amalan di atas sebenarnya amat berbahaya kerana pelitup muka terpakai adalah kotor dan mungkin telah dicemari virus COVID-19.

Pelitup muka pakai buang 3 lapis boleh dipakai sehingga 8 jam ataupun sepanjang waktu bekerja atau bersekolah. Ia tidak boleh dibasuh atau dipakai semula walaupun keadaannya masih elok.

Semasa hendak membuang pelitup muka, dinasihatkan untuk memutuskan satu tali pengikat.

Ini untuk memastikan pelitup muka yang dibuang tidak diguna semula atau dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Lipat atau gulung pelitup muka supaya permukaan berwarna tidak terdedah. Kemudian buang ke dalam tong sampah yang bertutup.

Selain daripada masalah di atas, pemakaian pelitup muka pakai buang yang berleluasa boleh mencemari alam sekitar kerana sifatnya yang sukar untuk dileraikan (biodegradasi).

Lambakan pelitup muka di kawasan pembuangan sampah boleh meningkatkan risiko jangkitan kepada pengendali sampah.

Pembuangan pelitup muka  ke dalam  laut pula boleh menjejaskan hidupan laut.

Sentiasa berwaspada dan amalkan pemakaian pelitup muka ditempat awam. - Infografik Astro AWANI

Kesimpulannya, jika anda mampu dan selesa memakai pelitup muka pakai buang 3 lapis, teruskan.

Jika anda tidak mampu atau ada sebab lain, anda boleh menggunakan pelitup muka fabrik sebagai alternatif.

Yang penting, anda tahu cara memakai, membuang dan menjaga pelitup muka anda.

Perlu diingat, pelitup muka adalah salah satu langkah pencegahan COVID-19 yang penting terutama sekali apabila penjarakan fizikal sukar dikekalkan.

Di samping itu, pastikan anda kerap mencuci tangan, membasmi kuman di tempat yang kerap disentuh dan amalkan penjarakan fizikal.

Jika anda bergejala atau berhubung dengan pesakit COVID-19, segera membuat pemeriksaan di klinik atau hospital.




 
* Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed adalah pakar mikrobiologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM

** Dr Wan Shahida Wan Sulaiman adalah pakar mikrobiologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM. 

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.