Malaysia mengulangi komitmen untuk kekal sebagai sebahagian daripada Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) bagi mencari keadilan terhadap mangsa Tragedi MH17.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bagi memastikan proses berkenaan dijalankan secara telus, berdasarkan undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan.

"Ketika dunia mengingati tahun ini sebagai sebagai tahun keenam insiden tragis yang menimpa penerbangan MH17, Malaysia masih kekal bersolidariti bersama saudara-mara kepada 298 mangsa termasuk anak kapal dalam usaha mendapatkan penyelesaian terbaik ketika perbicaraan di mahkamah.

"Sebagai mengenang peristiwa tragis itu, Malaysia mengulangi komitmennya untuk kekal sebagai sebahagian daripada Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) terhadap proses keadilan yang dilakukan agar ia dapat dijalankan secara telus, berdasarkan undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Justeru, Malaysia menyeru semua negara agar memberikan kerjasama kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) selaras dengan Resolusi UNSC 2166.

"Penyiasatan dan perbicaraan untuk menuntut keadilan terhadap insiden ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah tidak boleh tunduk dengan desakan politik oleh mana-mana pihak atau negara.

"Hanya ketegasan undang-undang yang mampu mengadili perlakuan jahat oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan ini dan mengembalikan kehormatan terhadap mangsa korban serta saudara-mara mereka," ujarnya.

Sumber Facebook wksbmenglish