Tutup

MH370: Dakwaan penemuan terbaharu tidak berasas - Tiong Lai

MH370: Dakwaan penemuan terbaharu tidak berasas - Tiong Lai
Tiong Lai: CAAM telah mengenal pasti berita itu adalah tidak berasas. Orang ramia jangan percaya berita palsu ini kerana paling penting adalah ikut laporan kita di aplikasi atau menerusi laman web untuk dapatkan maklumat terkini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tidak berasas!

Ini reaksi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai tentang dakwaan kononnya bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 telah ditemui di utara Mauritius.

Tiong Lai berkata dakwaan penemuan bangkai pesawat dengan kesan lubang peluru itu adalah tidak berasas.

Malah, jelasnya Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menafikan dakwaan tersebut.
"CAAM telah mengenal pasti berita itu adalah tidak berasas. Orang ramai jangan percaya berita palsu ini kerana paling penting adalah ikut laporan kita di aplikasi atau menerusi laman web untuk dapatkan maklumat terkini.

"Penemuan-penemuan itu adalah tidak berasas. Kita bekerjasama dengan ATSB (Biro Keselamatan Pengangkutan Australia) berpangkalan Australia di mana kumpulan pakar kita telah kenal pasti kawasan pencarian itu adalah dekat perairan Australia dan bukan di sebelah Mauritius atau Afrika.

BACA: Bangkai pesawat MH370 ditemui?
"Oleh itu, misi pencarian kita masih lagi berlangsung. Ocean Infinity masih berjalan dengan lancar dan kita berharap kita dapat menemui bangkai pesawat itu di kawasan perairan yang telah kita tetapkan iaitu 25,000 kilometer radius," katanya kepada media di Parlimen hari ini.


Malah, laporan agensi berita antarabangsa yang memetik kenyataan pihak berkuasa seperti ATSB dan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) turut menafikan jurutera mekanikal Australia, Peter McMahon.

McMahon mendakwa telah menemui pesawat MH370 yang hilang empat tahun lalu menerusi aplikasi Google Earth di lokasi 16km selatan Pulau Round, sebuah pulau kecil di utara Mauritius.

McMahon juga mendakwa pesawat itu penuh dengan lubang peluru.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak mahu ia ditemui kerana ia penuh dengan lubang peluru dan akan membuka kepada siasatan terbaharu.