Genap setahun misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, lebih 800 sukarelawan Institut Onn Ja'afar (IOJ) menterjemah tanda solidariti melalui program ‘#MH370 Forever In Our Hearts’.

Taylor's University menjadi lokasi mereka berhimpun bersama-sama bagi memperingati peristiwa itu dengan harapan keluarga mangsa akan diberikan kekuatan untuk meniti hari-hari yang akan datang dalam kehidupan dan berdoa untuk kesejahteraan mereka.

365 hari berlalu, namun doa dan harapan tidak pernah padam.

Ingatan terhadap waris dan ahli keluarga mangsa, terus segar dan kepada sang pencipta, dipohon supaya sentiasa menyuntik kekuatan untuk meniti hari-hari mendatang.

Ketua Pegawai Eksekutif IOJ Charles Mohan berkata program yang dianjurkan bersama Taylor's Hostel Management itu diadakan bagi memberi harapan dan semangat kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

“Mungkin kami semua tidak kenal secara rapat siapa mangsa-mangsa MH370 ini, tetapi insiden inilah yang telah membawa rakyat malaysia bersama-sama berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk keluarga mangsa meneruskan kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita seleas berucap pada program ‘#MH370 Forever In Our Hearts’ di Taylor’s University pada Jumaat.

Di acara tersebut, Mohan bersama-sama Naib Canselor Taylor's University, Professor Datuk Dr Hassan Said melepaskan 239 belon disaksikan 800 sukarelawan IOJ yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar Taylor's University, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara Dan Universiti Putra Malaysia.

Mereka turut bertafakur selama seminit bagi mendoakan kesejahteraan kesemua 239 penumpang serta anak kapal MH370.

Sementara itu, Hassan berkata beliau kagum dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan pelajar bukan sahaja dari universitinya malah daripada pelbagai universiti tempatan untuk bersama-sama menjayakan aktiviti kesukarelawan.

Ujarnya, pelajar-pelajar ini begitu komited melibatkan diri dalam apa juga aktiviti kesukarelawan dan beliau percaya sumbangan pelajar ini akan memberi impak kepada masyarakat dan negara.

"Kesan kehilangan pesawat ini mengingatkan kita pentingnya semangat kerjasama dalam menghadapi musibah dan saya lihat pelajar-pelajar ini begitu komited melibatkan diri dalam apa juga aktiviti kesukarelawan dan kita percaya sumbangan pelajar ini akan memberi impak kepada masyarakat dan negara," katanya.

Rata-rata pelajar yang ditemui turut menzahirkan rasa simpati ke atas mangsa-mangsa tragedi tersebut.

“Biarlah yang pergi tu, pergi. Janganlah kita kenang kembali cuma jadikan ia sebagai satu paras bagi kita untuk masa hadapan supaya lebih berhati-hati dan sebagainya,” kata Muhammad Fahmi, 23 dari Universiti Teknologi MARA.

“Walaupun saya bukan sebahagian daripada ahli keluarga mangsa MH370, tapi saya tetap merasa kesedihan yang dialami jadi saya berharap agar semua ahli keluarga tabah menghadapi dugaan ini,” kata Nur Syahirah, 19 dari Taylor’s College.

Bina kekuatan dalam meneroka jawapan

Sementara itu di majlis sama, Menteri Pertahanan yang juga penaung IOJ, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tampil melalui rakaman video khas.

"Hakikatnya ialah kita dapat bersama walaupun dalam kesakitan yang diharungi. Bukan tugas yang mudah mendapat 26 negara untuk bekerjasama.

Rakyat Malaysia bersatu dalam sesuatu tragedi untuk melihat dengan lebih meluas dan memahami bagaimana untuk melihat di sisi positif sesuatu yang konstruktif,” kata Hishammuddin.

Tambahnya, rakyat Malaysia mempunyai daya tahan yang kuat.

Mereka bersikap rasional dan mempunyai keupayaan untuk menghadapi kesemua cabaran tersebut.

“Walaupun sudah genap setahun, orang masih bercakap mengenainya, tetapi kita masih bersatu dan pencarian masih diteruskan.

“Meskipun kapal terbang belum ditemui, kita masih bersatu, itu adalah sesuatu yang kita harus banggakan” katanya.

Beliau mengingatkan semua, tragedi ini bukan sahaja mengenai kehilangan pesawat tetapi ia melibatkan jiwa, rasa dan emosi insan.

"Elemen kemanusiaan tersebut adalah sesuatu yang saya rasa begitu dekat di hati saya, kerana akhirnya ia bukan soal pesawat hilang tetapi mengenai keluarga. Mereka ada anak-anak, isteri, suami dan ibubapa.

“Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk kita mencari kesimpulan insiden ini. Masa memerlukan banyak kekuatan dan ada kekuatan dalam perpaduan," ujar Hishammuddin.