Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan perbualan terakhir dalam transkrip antara pengawal trafik udara dan kokpit pesawat adalah “Good night Malaysian 370" (Selamat malam Malaysia 370).

Perbualan terakhir itu berlaku pada 1.19 pagi waktu Malaysia.

Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada lewat malam Isnin itu menjawab soalan yang dibangkitkan pada sidang media Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkaitan komunikasi terakhir antara pusat pengawal trafik udara dan kokpit.

Hishammuddin turut berkata, beliau tidak pasti sama ada wujud dua versi transkrip yang disiarkan kepada orang ramai, termasuk transkrip yang dilapor dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) sebelum ini.

“Saya tidak pasti mengenainya tetapi saya boleh mengesahkan bahawa saya turut terlibat dalam penyiasatan yang dilakukan oleh FBI sejak hari pertama.

“Transkrip merupakan sebahagian daripada siasatan. Jika ia penting bagi anda, saya akan berbincang dengan pakar sekiranya ia boleh disiarkan atau tidak,” ujarnya.

Hishammuddin turut mengarahkan pasukan penyiasat untuk menyiarkan transkrip penuh pada sidang media seterusnya jika mereka mendapat kelulusan.

“Kami tidak menyembunyikan apa-apa. Kami hanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” tegas Hishammuddin.

Pada 12 Mac lalu, duta Malaysia ke China memaklumkan pada satu pertemuan bersama keluarga penumpang di Beijing bahawa perkataan terakhir yang diterima daripada pesawat MH370 adalah “All right, good night (baiklah, selamat malam)."

Manakala pada 17 Mac, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya memberitahu komunikasi terakhir pesawat MH370 adalah "All right, good night" telah dibuat oleh pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid.

Namun begitu, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan forensik untuk menentukan sama ada kata-kata terakhir dari kokpit diucapkan oleh juruterbang atau pembantu juruterbang.