Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa semua pihak a tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan penemuan serpihan sayap di Pulau Reunion berdekatan Madagascar, pada Rabu.

Menurut Tiong Lai, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pasukan pakar penerbangan dari Malaysia yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Perancis.

Pihaknya turut mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada Biro Siasatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) untuk mengenal pasti sama ada serpihan pesawat berkenaan milik MH370.

"Kami sedang menunggu pengesahan sama ada serpihan itu milik Boeing 777 atau MH370. Itu masih belum dapat dipastikan setakat ini."

"Walaupun daripada gambar ia kelihatan seperti daripada pesawat Boeing 777, itu hanyalah daripada pandangan mata kasar. Namun perkara itu hanya dapat disahkan selepas menjalankan siasatan rapi." kata Tiong Lai ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang selepas pulang dari New York.

Tambahnya, jika benar serpihan itu milik pesawat MH370, ia sekaligus mengesahkan jangkaan teori pergerakan arus selatan Lautan Hindi sebelum ini.

"Jika flaperon itu benar-benar milik MH370, ia sebenarnya selari dengan corak pergerakan arus yang ditunjukkan di selatan Lautan Hindi. Seperti mana, kita dapat lihat pergerakan arus di lautan itu akan menunjukkan corak arus yang sama. Tetapi kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi dan tunggu pengesahan daripada pihak Perancis," kata Tiong Lai.

Pada Jumaat, AFP melaporkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi mengesahkan objek yang ditemui di Pulau Reunion milik pesawat Boeing 777.