Keluarga Kapten Zaharie Ahmad Shah menarik nafas lega apabila Laporan Siasatan Keselamatan bagi penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang dikeluarkan hari ini menunjukkan 'tiada perkara negatif' tentang juruterbang pesawat yang kemudiannya dilaporkan hilang itu, lebih empat tahun lepas.

Kakak beliau, Sakinab Ahmad Shah berkata beliau berasa lega dan gembira kerana nama adik lelakinya itu dibersihkan daripada segala tuduhan.

"Saya sangat gembira sebab namanya sudah dibersihkan, bagaimanapun sebagai penyudah, kami mahu pesawat itu ataupun bangkainya dijumpai," katanya kepada media selepas mengikuti taklimat tentang laporan itu oleh Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370 di sini hari ini.

Beliau berkata laporan hari ini membuktikan tiada perkara yang negatif berkaitan karakter, ciri-ciri tugas, rekod profesional dan keadaan keluarganya sebelum Zaharie menerbangkan pesawat berkenaan.

MH370 hilang daripada paparan radar pada 8 Mac 2014 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pesawat 777-200ER itu membawa 12 kru dan 227 penumpang, sebahagian besar daripadanya adalah warganegara China.