Sejumlah 29 waris penumpang pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dari China tiba di Malaysia diiringi sembilan pegawai kerajaan republik itu pada Ahad untuk mendapatkan penjelasan terperinci operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Bernama dalam laporannya menyebut, Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting mereka kini menetap di Hotel Holiday Villa, Subang.

Ong juga turut mengadakan perbincangan dengan Duta Besar China di Malaysia Huang Huikang untuk menyelaraskan perkara-perkara berkaitan.

Anggota keluarga itu merupakan sebahagian daripada kumpulan yang sebelum ini menginap di Hotel Lido di Beijing, namun menurut Ong, beliau tidak pasti berapa lama mereka akan berada di Kuala Lumpur.

Kumpulan terbabit akan diuruskan oleh kakitangan MAS di samping Skuad Bantuan Krisis (CRSM) daripada MCA.

"Sejumlah 48 sukarelawan CRSM terlibat dan ini memudahkan kita kerana mereka fasih bertutur bahasa Mandarin," katanya.

Sehingga kini, lapan kapal dan 10 pesawat dari enam negara iaitu Australia, China, Malaysia, Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat sedang meneruskan operasi pencarian MH370 di Lautan Hindi, kira-kira 1,850 kilometer di barat Perth, Australia.

Laporan AFP pula menyebut, perdana menteri Australia Tony Abbott memberitahu, Houston akan mengetuai Pusat Penyelarasan Bersama Agensi yang baru, yang berpusat di Perth.

Houston akan menguruskan hubungan diplomatik yang acapkali dilihat rumit serta akan turut memastikan semua keluarga waris mendapat maklumat dan bantuan yang diperlukan.

Abbott turut berkata, kerajaan Australia "tidak akan berehat sehingga telah melakukan segala yang mampu untuk memberikan ketenangan dan gambaran terhadap apa yang berlaku kepada keluarga waris dan masyarakat dunia secara amnya.”