Laporan akhir berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 akan disiapkan sekiranya bangkai pesawat dijumpai atau sekiranya misi pencarian pesawat berkenaan ditamatkan, yang mana lebih awal.

Perkara itu disahkan kenyataan interim yang dikeluarkan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, hari ini.

"Sehingga kini, tiada sebarang penemuan bangkai pesawat malang itu ditemukan meskipun misi pencarian masih berterusan di selatan Lautan Hindi.

"Walau bagaimanapun, sebuah flaperon telah ditemui di Pulau RĂ©union pada 29 Julai, 2015 dan telah disahkan milik sebahagian daripada pesawat MH370," menurut kenyataan itu.

Ketua Penyiasat, Datuk Kok Soo Chon membacakan kenyataan itu pada jam 3 petang, Selasa menerusi siaran televisyen di Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1 dan turut disiarkan di saluran Astro AWANI (Saluran 501).

Kenyataan tiga muka surat itu juga dimuat naik ke laman web rasmi MH370 (www.mh370.gov.my).

BACA: Serpihan pesawat di Mozambique sudah diperoleh pihak berkuasa Malaysia - Liow

BACA: Dewan Rakyat bertafakur seminit memperingati tragedi MH370

BACA: 76 waris penumpang MH370 saman MAS dan 4 defendan lain


BACA: MH370: 2 tahun berlalu, keluarga harap jawapan di sebalik penantian

Pada masa ini, pasukan penyiasatan sedang memuktamadkan analisis, dapatan/kesimpulan dan cadangan keselamatan kepada lapan bidang perkara berkaitan dengan kehilangan pesawat MH370 berdasarkan kepada maklumat sedia ada.

"Sebarang maklumat baru yang mungkin diperolehi sebelum laporan akhir dimuktamadkan mungkin akan mengubah analisis, dapatan/kesimpulan dan cadangan keselamatan tersebut," menurut kenyataan itu.

Lapan bidang perkara yang sedang dianalisa adalah seperti berikut:

a) Lencongan dari laluan rancangan penerbangan yang difailkan;

b) Operasi perkhidmatan trafik udara;

c) Profil anak-anak kapal;

d) Kelayakan terbang dan penyelenggaraan dan sistem pesawat;

e) Komunikasi satelit;

f) Maklumat serpihan dan impak (berikutan pemulihan dan pengesahan flaperon daripada pesawat);

g) Organisasi dan pengurusan maklumat Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan MAS; dan

h) Konsainan kargo.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang termasuk anak kapal apabila ia hilang daripada skrin radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

GALERI FOTO: Retrospektif #MH370

Laporan interim pertama diterbitkan Putrajaya pada ulang tahun pertama kehilangan pesawat MH370 pada tahun lalu.

Antara fakta baru yang didedahkan termasuk bateri perakam data penerbangan (SSFDR), 1 daripada 2 kotak hitam, peranti pengesan bawah air (ULB) bagi pesawat itu tamat tempoh kira-kira 14 bulan selepas kehilangan pesawat itu.