MH370: Malaysia komited teruskan pencarian - Tiong Lai

MH370: Malaysia komited teruskan pencarian - Tiong Lai
Tiong Lai: Malaysia terus komited untuk meneruskan pencarian pesawat MH370. - Gambar hiasan
PELABUHAN KLANG : Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 melalui syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity, sejak Januari lalu. kini sudah meliputi lebih 16,000 kilometer persegi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, justeru Malaysia terus komited untuk meneruskan pencarian pesawat milik negara.

"Seabed Constructor sekarang ini berada di lokasi pencarian. Kawasan pencarian sudah meliputi lebih 16,000 kilometer persegi daripada 25,000 kilometer persegi kawasan pencaraian," katanya dalam satu sidang media di Wisma Kastam Selangor di sini, hari ini. 
Jelas beliau, terdapat 65 anak kapal termasuk dua kru warga Malaysia dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam Seabed Constructor berkenaan.

"Kami akan terus mendapatkan maklum balas daripada mereka dari semasa ke semasa. Jabatan DCA Response Team akan menerima maklum balas daripada kapal peninjau berkenaan.

BACA: Refleksi MH370

Setakat ini katanya, tiada sebarang tanda penemuan pesawat MH370 oleh Seabed Constructor.

BACA: MH370: 'Serpihan masih ditemui' - Kok Soo Chon

"Setakat hari ini, kita bersama-sama berdoa supaya kita dapat mencari MH370 dalam masa yang terdekat ini," ujarnya.

Kerajaan Malaysia memeterai perjanjian dengan Ocean Infinity Limited pada Januari lalu untuk memulakan pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang empat tahun lalu.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan kru hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.