Pihak berkuasa yang terlibat dalam pencarian pesawat MH370 yang hilang masih belum membuat keputusan sama ada menamatkan misi tersebut selepas melengkapkan sasaran pencarian di 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan itu bergantung kepada laporan pakar pencarian walaupun beberapa serpihan pesawat yang ditemukan disahkan daripada pesawat malang yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Katanya mesyuarat tiga pihak membabitkan Malaysia, China dan Australia akan diadakan pada Jun atau Julai untuk membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil.

"Kami tetap berpandukan kepada cadangan daripada pakar. Selepas pencarian itu selesai, mereka akan mengemukakan laporan dan kami akan bincangkannya dalam mesyuarat tiga pihak.

"Belum ada keputusan yang dibuat setakat ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wangsa Maju yang berharga RM22 juta di sini hari ini.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing bersama 239 penumpang dan kru, dilaporkan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, Liow yang juga Presiden MCA, berkata pendidik harus kerap meningkat diri agar celik teknologi supaya sentiasa berada di hadapan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti dalam era digital.

Katanya pendidik tidak boleh lagi terikat dengan sistem dan pendekatan lama dalam hasrat untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan menyampaikan pengetahuan kepada generasi muda.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kepelbagaian aliran sekolah yang terdapat di negara ini harus dilihat sebagai satu kelebihan yang dapat membantu negara menjadi lebih kompetitif di pentas global. SJKC Wangsa Maju ketika ini mempunyai 430 murid sejak dibuka pada 2015.