Tutup

MH370: 'Penantian penuh debaran' - waris mangsa

MH370: 'Penantian penuh debaran' - waris mangsa
Salah seorang anak penumpang MH370 mengakui agak terkejut ketika mendapat berita penemuan flaperon BOEING 777 yang dikaitkan dengan pesawat yang hilang itu. Kredit foto - Koleksi peribadi Grace Subathirai
KUALA LUMPUR: Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan waris, keluarga dan sahabat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang lebih setahun lalu selepas berita penemuan secebis serpihan dari pesawat di Pulau Reunion mendapat perhatian masyarakat dunia, baru-baru ini.

Penantian lebih setahun semenjak berita pesawat tersebut hilang dari radar pada 8 Mac 2014 cukup mendebarkan.

Grace Subathirai, 27 yang merupakan salah seorang waris penumpang MH370, mengakui merasa terkejut selepas mendapat berita penemuan ‘flaperon’ pesawat Boeing 777 yang telah dikaitkan dengan pesawat yang hilang tersebut.
“Sudah beberapa perkara begini berlaku di mana kami diberitahu khabar yang tidak benar jadi untuk kali ini, selagi belum ada apa-apa pengesahan, kami masih mengharap," kata Grace dalam perbualan telefon bersama Astro AWANI, pada Sabtu.

“Pihak MAS belum mengubungi saya tetapi saya tahu ada di kalangan waris yang dihubungi pihak Joint Agency Coordination Centre (JACC) Australia sehingga kini cuma apa yang boleh dikatakan kami mengetahui perkara ini melalui laporan berita yang membuat liputan tentang penemuan ini."
Anne Daisy
Anne Daisy bersama dua anaknya. Kredit foto - Koleksi peribadi Grace Subathirai

Ibu Grace, Anne Daisy menaiki pesawat MH370 pada malam 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk bertemu suaminya yang bertugas di Beijing, China.

Grace yang merupakan jurucakap 'Voice MH370' (sebuah kumpulan sokongan yang ditubuhkan oleh waris MH370) itu turut berkata waris mangsa yang lain sudah membuat keputusan untuk mengadakan sidang media setelah pengesahan rasmi tentang penemuan sisa serpihan tersebut.

“Saya belum dapat menerima perkara ini selagi belum ada sebarang pengesahan," kata Grace.

Anne Daisy MH370
Anne Daisy merupakan  salah seorang penumpang yang menaiki pesawat MH370 sebelum dilaporkan hilang 8 Mac tahun lalu. Kredit foto - Koleksi peribadi Grace.

Pesawat MH370 yang hilang selepas sejam berlepas dari KLIA itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.

Pada Jumaat, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi mengesahkan objek yang ditemui di Pulau Reunion milik pesawat Boeing 777.

Buat masa ini, sisa serpihan pesawat berukuran dua meter itu telah tiba di Paris untuk dikaji di sebuah makmal di Toulouse, Perancis.