Sememangnya sukar buat sesetengah waris penumpang dan anak kapal MH370 serta rakyat Malaysia untuk menerima berita pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada awal pagi tadi.

Beliau mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion pada minggu lalu adalah daripada pesawat Malaysia Airlines yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Sebelum pengumuman lagi, hashtag #MH370 menjadi topik trending paling hangat di Twitter sejak semalam apabila lebih 90 ribu tweet memperkatakan mengenai insiden kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ini.

Rata-rata rakyat Malaysia berkongsi kesedihan selain turut menghulurkan rasa simpati dan kata-kata semangat buat waris dan kaum keluarga mangsa.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan aktivis Marina Mahathir adalah antara mereka yang turut berkongsi kesedihan menerusi laman Twitter.


VIDEO: Sidang akhbar pengesahan serpihan pesawat di Pulau Reunion sah milik MH370

FOTO: Debaran sekitar pengumuman Perdana Menteri flaperon milik MH370

BACA: Serpihan di Pulau Reunion sah milik MH370. Apa yang telah diketahui

Misteri kehilangan MH370 mula terungkai pada 29 Julai di kawasan pantai Pulau Reunion di Lautan Hindi selepas pekerja pantai menemui serpihan flaperon pesawat yang menyerupai sayap pesawat.

Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa Perancis kemudiannya mengesahkan flaperon tersebut daripada pesawat jenis Boeing 777. Selain dari MH370, tiada insiden lain yang melibatkan pesawat jenis Boeing 777 yang terhempas di air pernah dicatatkan.

Pada 29 Januari 2015, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah mengiystiharkan penerbangan MH370 sebagai kemalangan dan kesemua mereka yang berada di dalam pesawat dianggap terkorban.

Pengumuman itu dibuat supaya pampasan boleh dibayar kepada waris mangsa.