Malaysia akan membawa pulang serpihan yang dipercayai bahagian pesawat yang ditemui di Maldives baru-baru ini ke tanah air bagi disiasat oleh pasukan penyiasat antarabangsa.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Maldives.

"Kita akan membawa pulang serpihan itu ke Malaysia untuk menjalankan proses analisis lanjutan dan pengesahan.

"Pasukan penyiasat Malaysia kini berada di Maldives bagi bekerjasama erat dengan pihak berkuasa negara itu bagi menyiasat serpihan yang dikaitkan dengan Boeing 777," ujar beliau yang menyatakan serpihan itu kini sedang melalui prosedur pelepasan di Maldives.

Menurut laporan portal berita Maldives Haveeru, beberapa hari selepas serpihan pesawat yang dijumpai di Pulau Reunion, Perancis pada 29 Julai, disahkan daripada pesawat Malaysia Airlines MH370, pekerja daripada sebuah pusat peranginan 'Banyan Tree Vabbinfaru' di North Male Atoll, Maldives mendakwa terdapat serpihan pesawat yang terdampar di pantai pusat peranginan tersebut sejak sebulan lalu.

Sejurus itu, dua lagi pulau di Baa Atoll dan satu di Noonu Atoll juga mendakwa ada terjumpa serpihan-serpihan logam yang mungkin daripada pesawat MH370.

Sementara itu, Liow berkata Malaysia juga menghantar sebuah pasukan penyiasat ke Pulau Reunion untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha mencari lebih banyak serpihan bukti.

"Kawasan pencarian sudahpun diluaskan oleh pihak berkuasa Perancis dan kita berharap dapat mengumpulkan lebih banyak serpihan dari kawasan itu," kata beliau selepas merasmikan Pusat 4S Glenmarie Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd di Temasya Industrial Park di sini.

Liow juga berharap Mesyuarat Tiga Pihak Bersama China dan Australia akan didahului mesyuarat teknikal sementara misi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi seluas 60,000 kilometer persegi akan diteruskan dan dipertingkat dalam fasa kedua.

Penerbangan MH370 daripada Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac 2014 dengan 239 penumpang dan anak kapal.