Laporan rasmi yang ditunggu-tunggu oleh pasukan penyiasat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengenai kehilangan pesawat MH370 tidak memberi sebarang petunjuk baharu tentang mengapa pesawat itu hilang.

Ia sekali gus menimbulkan rasa marah dan kecewa dalam kalangan waris mangsa MH370.

Kebanyakan ahli keluarga mangsa berharap bahawa laporan pasukan penyiasat rasmi itu dapat memberi penemuan baharu setelah lebih empat tahun pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan kru itu hilang.

"Saya kecewa. Tiada apa-apa yang baharu dalam laporan itu," kata Intan Maizura Othman yang mana suaminya pramugara di dalam pesawat itu.

Pada 29 Mei lalu, Malaysia menghentikan pencarian tiga bulan oleh firma Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity, meliputi kawasan seluas 112,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan ditamatkan tanpa penemuan ketara.

Ia adalah pencarian terbesar kedua selepas Australia, China dan Malaysia menamatkan pencarian tanpa hasil menelan belanja AS$200 juta (RM812.91 juta) untuk kawasan seluas 120,000 kilometer persegi tahun lalu.

Dalam pada itu, pasukan penyiasat hari ini dalam satu sidang media mendedahkan laporan penuh siasatan berkata mereka gagal mengenal pasti punca satu daripada misteri terhebat dalam sejarah penerbangan dunia.

"Pasukan gagal mengenal pasti punca sebenar kehilangan MH370. Jawapan itu dapat dimuktamadkan jika bangkai pesawat ditemui," kata Ketua Pasukan Siasatan Keselamatan MH370, Datuk Kok Soo Chon.