Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan "terhempas atau tiada yang terselamat" semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Perkara ini dijelaskan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar rutin hari ini berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.

"Sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.

Perkara itu benar-benar salah.Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat," katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.

Semasa membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, Najib berkata: "Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi".