Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) menurunkan sasaran pendapatan pelancongan perubatan untuk tahun ini kepada RM500 juta dengan anggaran kesan ekonomi sebanyak RM7 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sherene Azli berkata akibat daripada penularan COVID-19, MHTC mengurangkan sebanyak 70 peratus sasaran asalnya iaitu hasil sebanyak RM2 bilion dengan jumlah sumbangan RM10 bilion kepada ekonomi.

"Kami tidak mempunyai gambaran yang jelas mengenai jumlah kemasukan pelancong kerana ini adalah persekitaran yang baharu.

"Tingkah laku perjalanan adalah berbeza dan terdapat perubahan dalam cara kita melakukan sesuatu," katanya kepada Bernama selepas majlis makan tengah hari bersama media sempena Medical Travel Media Awards 2020 di sini semalam.

Tahun lepas, sektor pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia mencatatkan hasil sebanyak RM1.7 bilion dengan 1.3 juta ketibaan pelancong penjagaan kesihatan.

Pada 25 Jun lepas, kerajaan membenarkan kemasukan warganegara asing yang mengalami penyakit kritikal dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran diberikan kepada mereka yang dikategorikan di bawah fasa 1A dan 1B, ia akan dikuat kuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan ketika sekatan perjalanan antarabangsa sedang berjalan.

"Kebenaran untuk pelancong fasa 1A hanya diberikan untuk perjalanan melalui laluan udara dan hanya seorang penjaga dibenarkan untuk menemani pesakit," katanya dalam satu kenyataan.

Setakat 20 Julai, MHTC telah mendapat persetujuan untuk fasa kedua bagi membenarkan pelancong penjagaan kesihatan dari enam negara, iaitu Brunei, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand untuk memasuki negara.

Berikutan keselamatan pesakit dan pelawat terus menjadi keutamaan Malaysia, kebenaran tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

SOP itu, bagaimanapun tidak terhad kepada pelancong penjagaan kesihatan yang mendaftar dengan MHTC sebelum melakukan perjalanan ke sini untuk mendapatkan rawatan.

Lebih banyak maklumat mengenai SOP ini akan tersedia untuk orang ramai setelah perincian mengenainya selesai, katanya.

"Kerajaan mengizinkan enam negara ini kerana mereka adalah negara yang selamat namun ia tertakluk kepada perjanjian dipersetujui antara Malaysia dan negara-negara berkenaan.

"Untuk Australia, ia masih dalam fasa sekatan perjalanan, justeru bagi pesakit dari negara itu memerlukan kebenaran khas dan tertakluk kepada peraturan ditetapkan sebelum memasuki Malaysia," katanya.

Sherene berkata Malaysia telah meletakkan kedudukannnya sebagai destinasi pilihan untuk bidang perubatan khusus yang terpilih seperti ortopedik, kardiologi, neurologi, pemeriksaan kesihatan, onkologi dan rawatan kesuburan sebelum penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"10 negara teratas yang mencatatkan jumlah pelancong penjagaan kesihatan ke Malaysia adalah Singapura, India, Jepun, Bangladesh, Filipina, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia dan China," katanya.

-- BERNAMA