Duta Muhibah Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tan Sri Michelle Yeoh tiba di Kuching, di sini sempena Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Diperbaharui atau SAREF 2019.

Pesawat Malaysia Airlines yang membawa selebriti tempatan yang mencipta nama di pentas antarabangsa itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira pukul 2.20 petang Isnin.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan khas pada persidangan SAREF 2019 anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Kementerian Utiliti Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), esok.

Sebagai Duta Muhibah UNDP, Michelle berperanan meningkatkan kesedaran dan menggerakkan sokongan untuk Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

SAREF 2019 yang berlangsung selama dua hari ini antara lain bertujuan sebagai platform perbincangan mengenai kemampanan dan tenaga diperbaharui.

Ia bakal dihadiri oleh tokoh dan pemimpin dalam industri berkaitan bagi membincangkan bagaimana pemain industri dapat bekerjasama untuk memaksimumkan penyelesaian industri tenaga diperbaharui untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan pembukaan forum itu bersama Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datu Sharbini Suhaili.