Kerajaan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) akan memantau pemilikan harta luar biasa oleh mana-mana individu di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jika perkara itu wujud LHDN akan meneliti dan menyiasat bagi mengenal pasti sumber kekayaan berkenaan.

Katanya, jika terdapat keraguan LHDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Sebarang harta kekayaan luar biasa yang ditunjukkan melalui pemilikan barang-barang mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta mewah atau hartanah.

"LHDN akan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang untuk mendapatkan kembali sebarang wang tunai, sama tambahan, penalti atau denda," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentangan Belanjawan 2019

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga akan mengkaji semula layanan cukai dan insentif sedia ada di bawah pelbagai perundangan bagi memastikan ianya relevan dan dapat mengurangkan ketirisan hasil.

Katanya, kerajaan akan mengenakan sekatan masa ke atas kerugian perniagaan, baki elaun modal, baki elaun pelaburan semula dan baki rugi perintis yang tidak dapat diserap dibenarkan hadapan sehingga 7 tahun taksiran sahaja.