Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Miliki lebih tiga tan daun ketum, dua lelaki dihadapkan ke mahkamah

Miliki lebih tiga tan daun ketum, dua lelaki dihadapkan ke mahkamah
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang. Gambar Astro AWANI
KANGAR: Dua peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar pada Selasa atas pertuduhan memiliki 3,260 kilogram (kg) daun ketum di Simpat Empat di sini, pada 29 Mei lalu.

Muhammad Syakir Shihardi, 21, dan Wan Mohd Amirul Wan Jab, 27, memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara bersama di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama lima orang yang masih bebas membawa 3,260 kg dedaun tumbuhan yang mengandungi mitragynine di tepi jalan Kampung Tok Pulau, Simpang Empat, kira-kira jam 7.15 pagi, 29 Mei lalu.

Berikutan itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang dan sebutan semula kes ditetapkan pada 3 September depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jodia Por Yi Tying, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Annuar Syed Lokman Hakim.

Sebelum ini, media melaporkan cubaan enam lelaki menyeludup lebih 3.3 tan daun ketum ke negara jiran digagalkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis pada Jumaat lalu.

Kumpulan terbabit dilapor menggunakan enam kereta yang diubahsuai dan melalui 'jalan tikus' di Kampung Tok Pulau bagi 'mengeksport' daun ketum dianggarkan bernilai RM165,000 itu ke Thailand.