Kerajaan Negeri meminta supaya hasil perolehan dalam sektor pelancongan di Sabah untuk dinilai semula.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini memandangkan sektor pelancongan di negeri ini menyumbang kepada pendapatan ketiga terbesar di negara.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan perolehan yang diterima oleh Sabah untuk tahun ini adalah sekadar lingkungan RM24 juta berdasarkan formula cukai pintu atau cukai bilik.

Mohd Shafie turut menyifatkan formula itu kurang tepat susulan pendapatan hasil daripada pelancongan Sabah yang mampu mencecah bilion ringgit.

"Bila saya lihat kepada formula, agak tidak tepat, saya telah suarakan supaya kita perlu nilai kerana hasil daripada pelancongan berdasarkan formula digunakan adalah cukai pintu, cukai bilik sahaja, ia hanya satu sektor.

"Kerana pendapatan daripada pelancongan ialah banyak, makanan dan minuman, imigresen, hartanah hotel yang banyak dapat hasil.

"Kita yakin bahawa pendapatan daripada sektor pelancongan ianya mencecah bilion ringgit, ia merupakan pendapatan ketiga terbesar di negara, ini yang tengah kita bincang daripada sebahagian Perjanjian Malaysia 1963," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan upacara pecah tanah Hotel Grand Liberty di Kota Kinabalu, pada Khamis.

Dalam majlis tersebut, Mohd Shafie berkata, hotel baharu bertaraf empat bintang dengan kapasiti 301 bilik itu mampu merancakkan lagi industri pelancongan di pusat ibu negeri Sabah berkenaan.

Jelasnya lagi, dengan adanya kerjasama pihak korporat dan swasta yang menyahut aspirasi Kerajaan Negeri meningkatkan industri pelancongan, ianya satu langkah efisyen bagi memantapkan lagi tahap ekonomi sedia ada selain memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.