Seorang buruh sanggup mengugut mahu membakar rumah bapanya, hanya kerana permintaannya yang tidak dilayan.

Bagaimanapun tertuduh, Muhamad Izwan Hafies Mat Jusoh, 24 tahun, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu membakar rumah Mat Jusoh Abdullah, 57 tahun, di Batu Rakit, Kuala Nerus, kira-kira jam 4.15 petang pada 6 Disember lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan dan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa mengugut mahu membakar rumah selepas bengang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan mangsa.

Selain itu, tertuduh turut membaling botol kaca dan sebiji buah kelapa ke arah ibu dan bapanya sebelum satu laporan dibuat mangsa di Balai Polis Batu Rakit untuk tindakan lanjut.