Menteri Kesihatan Datuk Seri Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu cukai eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula yang bakal dilaksanakan pada 1 Julai depan tidak akan melibatkan minuman yang dibancuh dan dihidangkan di premis makanan seperti restoran dan warung.

Dr Dzulkefly berkata pihaknya berpendapat pendekatan mendidik masyarakat supaya tidak mengambil minuman yang lebih manis, adalah lebih berkesan.

"Adalah lebih baik untuk mendidik orang ramai supaya tidak mengambil minuman berwarna dan manis yang dihidangkan di restoran. Ini merupakan cara untuk tidak menggalakkan mereka mengambil minuman manis. Tidak perlu peraturan," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Sedunia di Kementerian Kesihatan pada Isnin.

Beliau juga menjelaskan Kementerian Kesihatan tidak mengawal selia warung dan restoran.

"Buat masa ini, kita (Kementerian Kesihatan) tidak mengawal selia kedai makanan itu," katanya ketika ditanya sama ada cukai itu akan dikenakan di premis makanan sedemikian memandangkan kandungan gula dalam minuman manis yang dibancuh lebih tinggi berbanding minuman manis yang dihasilkan di kilang.

Cukai eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula yang sepatutnya mula dilaksanakan pada 1 April 2019 ditangguhkan kepada 1 Julai 2019.

Semasa membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan cukai gula akan dikenakan ke atas minuman yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter, begitu juga jus yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata rang undang-undang Akta Kawalan Tembakau yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan akan memasukkan juga kawalan ke atas nikotin, e-rokok dan vape, selain rokok.

"Rang undang-undang itu akan menggariskan semua peraturan tentang e-rokok dan vape termasuk garis panduan penjualannya," katanya.

Rang undang-undang itu dijangka dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara pada penghujung tahun ini.