Desas-desus mengatakan Ketua Jurulatih pemain lelaki skuad senior, Datuk Misbun Sidek bakal dilantik Pengarah Teknikal skuad remaja negara akhirnya terjawab, selepas perkara itu disahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

"Misbun akan menjadi 'supremo' kepada pemain remaja dan saya akan membentangkan perkara ini pada minggu pertama Februari, untuk urusan meluluskan keputusan tersebut," katanya selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Misbun, iaitu pemain profesional negara, Misbun Ramdan.

Spekulasi BAM akan melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan dengan tumpuan terarah kepada peralihan jawatan membabitkan tugas Misbun timbul selepas badan induk itu menggugurkan tujuh pemain daripada skuad kebangsaan, sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula bagi Projek 24.

Struktur kejurulatihan skuad remaja negara kini diketuai Kwan Yoke Meng sebagai Ketua Jurulatih.

Sementara itu, Misbun ketika ditanya mengenai kesediaan beliau menggalas tugas baharu ini dan meninggalkan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih skuad senior berkata, beliau akan akur dengan keputusan yang bakal diumumkan BAM nanti.

"Setahu saya itu ada dalam perbincangan, jadi kita tunggu sahaja bila Datuk Norza akan umumkan. Apa pun saya akan akur dan terima sahaja dengan sebulat hati dan suara. Apa yang penting, saya ada rasa nak bantu (pemain remaja), kalau saya tidak ada rasa nak bantu, itu soal lain.

"Tapi untuk masa sekarang, kalau itu yang disarankan untuk kebaikan badminton, saya akur dengan apa yang diberikan," katanya sambil berjanji akan melakukan yang terbaik untuk Akademi Badminton Malaysia (ABM). - BERNAMA