Seorang warga emas berusia 73 tahun mengambil inisiatif melakukan kayuhan solo sejauh 2,200 kilometer untuk menyampaikan mesej dan risalah supaya orang ramai mengikuti perkembangan semasa melalui media elektronik dan cetak yang sah dan bukannya berita tidak benar.

Wan Hashim Wan Mahmood, atau mesra disapa sebagai Pak Wan memberitahu, kayuhan kali ini sebagai membalas jasa pengamal media yang banyak membantunya sebelum ini sehingga bejaya mencipta nama sebagai pengayuh basikal warga emas yang memecahkan rekod mengelilingi semenanjung Malaysia, selatan Thailand dan juga benua Eropah.

Kata Pak Wan, dalam misi kali ini, dia cuba mengajak orang ramai untuk mengikuti perkembangan semasa melalui media elektronik dan cetak yang sah dan bukannya berita tidak benar yang banyak disebarkan secara tidak bertanggungjawab.

“Pak Wan ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang menolong Pak Wan dan di sini ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya sebar cerita yang benar sahaja,” katanya.

Kayuhan kali ini bermula di Pengkalan Kubor sebelum ke Tumpat, Yala, Padang Besar dan seterusnya ke Pahang, Perak, Selangor, Johor dan Terengganu.

Misi ini dijangka selesai pada 6 Julai depan.




Sementara itu, Presiden Persatuan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Azran Fitri Abdul Rahim berkata, Kemudi komited untuk sentiasa menyokong misi Pak Wan daripada segi sokongan moral dan tajaan.

“Kayuhan ini Pak Wan tujukan khas buat media dan bagi kami, Kemudi, terharu dan membawa risalah golongan media arus perdana supaya menyebarkan risalah amat penting sekali yakni membawa mesej supaya pastikan berita diterima adalah berita benar,” jelasnya.

Menurut Azran lagi, hubungan Pak Wan dan pengamal media Kelantan tidak asing lagi, bahkan usaha selama ini yang dilakukan Pak Wan mendapat sokongan media negeri Cik Siti Wan Kembang.