Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merupakan antara kementerian awal yang menyahut seruan kerajaan untuk mengambil orang kurang upaya (OKU) berkhidmat di sektor kerajaan.

MITI dalam kenyataan hari ini berkata kementerian itu antara yang terkehadapan dalam mencapai sasaran satu peratus seperti yang ditetapkan kerajaan.

"Sehingga kini, MITI mempunyai lima orang pegawai OKU (0.7 peratus), iaitu kementerian yang tertinggi mencapai sasaran satu peratus seperti yang ditetapkan kerajaan, kata Ketua Setiausahanya Datuk Seri J Jayasiri.

Beliau berkata demikian pada perasmian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MITI di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak pada Isnin yang merupakan acara tradisi tahunan kementerian itu dengan penyertaan kira-kira 40 kakitangan MITI dan 60 orang pelajar serta guru sekolah berkenaan.

Menurut beliau, pemilihan sekolah berkenaan sebagai lokasi program CSR MITI adalah bertepatan dengan saranan untuk merakyatkan warga MITI oleh Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut kenyataan itu, MITI akan menyumbangkan sebuah mesin Braille untuk kegunaan pelajar sekolah berkenaan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA