Majlis Konsultasi Keselamatan dan Ketenteraman Awam (MKKKA) dijangka ditubuhkan pada suku pertama tahun ini, ujar Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, MKKKA akan menjadi platform perkongsian idea melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam dan bakal dianggotai individu yang mempunyai kepakaran berkaitan.

"Kita sudah sediakan panduan penubuhannya. Yang penting keanggotaan itupun saya telah putuskan bilangan dan siapa yang akan menganggotainya. Kita akan kenal pasti tokoh dan mereka yang mahir dengan keselamatan awam, soal komuniti, dan ini akan mengambil masa sedikit. Kita telah tetapkan terma rujukan terma rujukan dan skop yang boleh dibincangkan,"katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Khamis.

Muhyiddin selaku menteri bertanggungjawab akan mempengerusikan mesyuarat MKKKA itu nanti.

"Saya jangka tahun ini juga (ditubuhkan) iaitu dalam penggal suku pertama tahun ini kita sudah selesai. Selepas itu kita akan tetapkan tarikh untuk bermesyuarat dan saya akan mempengerusikannya," tambahnya.

Penubuhan MKKKA adalah kesinambungan daripada Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu dan menggariskan menggariskan enam teras utama dan 21 strategi melalui penglibatan bersepadu semua pihak.