Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan penghantaran makanan pada bulan Ramadan bermula 24 April ini.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mesyuarat Jawatankuasa Khas pada pagi Ahad memutuskan, SOP akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat.

"Mesyuarat pagi tadi memutuskan MKN akan menyediakan SOP sewaktu bulan Ramadan termasuk penghantaran servis makanan.

"Kita (Kerajaan) tahu mungkin sampai sahur ada (orang) order (tempah makanan), jadi pagi ini kita minta MKN dalam tempoh dua hingga tiga hari keluarkan SOP untuk bulan puasa termasuk penghantaran dan sebagainya," kata Ismail.


Bagaimanapun jelas beliau, radius penghantaran masih kekal 10 kilometer seperti mana yang ditetapkan sebelum ini.

Sebelum ini, beliau mengumumkan meskipun penganjuran bazar Ramadan dilarang, namun perkhidmatan penghantaran makanan atau e-hailing termasuk bagi restoran makanan segera masih dibenarkan seperti biasa.

Manakala cadangan e-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu dan 'pick-up- tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.

Ketika ini, lebih 40 syarikat e-hailing berdaftar di negara ini dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.