Tutup

MOA gesa kerajaan Pahang beri lanjutan 30 thn TOL kepada petani

MOA gesa kerajaan Pahang beri lanjutan 30 thn TOL kepada petani
Sim Tze Tzin berkata industri pertanian di Cameron Highlands akan terus terkesan sekiranya isu lesen ini tidak diselesaikan.
TANAH RATA: Antara punca petani di Cameron Highlands tidak berupaya mengembangkan pertanian mereka disebabkan tempoh pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang terlalu singkat.

Disebabkan masalah ini sudah berlanjutan berdekad lama, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menggesa kerajaan negeri Pahang memberi lanjutan masa 30 tahun kepada penerima TOL.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata industri pertanian di Cameron Highlands akan terus terkesan sekiranya isu lesen ini tidak diselesaikan.

"Di Cameron Highlands, ada dalam 80 peratus petani menghadapi masalah ini. Benda (masalah) ini sudah lama, sudah 60 tahun tapi masih tidak diselesaikan.
"Kita (MOA) mempunyai wawasan dan halatuju jelas untuk Cameron Highlands. Sebab itu, kita mahu kerajaan negeri mempunyai azam dan tekad baru untuk memberi satu halatuju baru dalam mencari penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Pakatan Harapan di sini, pada Ahad.

Tambahnya, langkah sedemikian perlu bagi membolehkan usaha kerajaan membangunkan aktiviti pertanian khususnya di Cameron Highlands, dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Ketika ini, katanya, ramai petani berdepan kesukaran mengembangkang pertanian mereka, sekali gus menjejaskan peluang pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.

Disebabkan hal ehwal tanah terletak di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, maka adalah wajar sekiranya mereka mengambil perhatian berhubung permasalahan ini.

"Kita sudah bawa isu ini lama tetapi tidak ada maklum balas daripada kerajaan negeri. Jika masalah pengurusan dan pentadbiran TOL tidak diselesaikan, petani juga tidak dapat merancang untuk membangunkan aktiviti pertanian untuk tempoh yang panjang.

"Kelewatan urusan memperbaharui TOL menyebabkan petani sukar untuk membuat pinjaman bank, memohon mengambil pekerja asing, apatah lagi terbabit dalam program inovasi baharu berkapasiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian mereka.

"Kalau tempoh (TOL) pendek, mereka juga tidak akan bawa teknologi baharu, tarik pelabur tempatan. Sebab itu pembangunan pertanian di Cameron Highlands, kedudukannya masih kekal sama sejak berpuluh tahun dan tidak boleh maju," katanya.

Menurut Sim, ketika ini petani yang pertama kali memohon TOL akan diberi tempoh selama tiga tahun untuk bercucuk tanam, tetapi selepas itu, mereka perlu memperbaharui lesen itu setiap tahun.

"Sekarang ini masalahnya, contoh bulan Januari dia mahu perbaharui, tidak ada jaminan ia diluluskan atau tidak. Ada kes sampai lima tahun tak boleh buat (perbaharui TOL).

"Ada kes yang tidak dapat diperbaharui, tiba-tiba dia (petani) dapat surat kena bayar cukai tanah. Jadi petani di sini susah untuk merancang," katanya lagi.