Tutup

MOA tubuh pasukan petugas urus krisis bencana pertanian

MOA tubuh pasukan petugas urus krisis bencana pertanian
Salahuddin menyampaikan Bantuan Wang Ehsan kepada para petani dan peladang pada Majlis Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi Akibat Taufan Lekima Kepada Peladang yang diadakan di PPK MADA Kodiang, 9 Jan, 2020. --fotoBERNAMA
JITRA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan menubuhkan sebuah pasukan petugas yang bertanggungjawab melaksanakan pengurusan krisis dan bencana berkaitan pertanian di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata langkah itu bagi memastikan kementerian dapat bertindak sebaik mungkin dan berkesan untuk membantu petani, pesawah dan penternak yang terkesan oleh sebarang bentuk bencana.
"Pasukan petugas ini yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Zainal Azman Abu Seman juga akan memfokuskan kepada persiapan-persiapan awal atau 'early warning system' yang akan diwujudkan dengan lebih cekap dan berkesan.

Kita juga perlu lebih bersedia dengan lebih awal supaya kita dapat mengandaikan bilakah kemungkinan-kemungkinan yang berlaku bencana ini dan ini sudah pasti ada kolaborasi di antara kementerian ini dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan tabung bencana tanaman padi kepada peladang Kawasan Muda di Kodiang dekat sini, pada Khamis.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga akan mewujudkan sistem pengedar benih tunggal dengan hanya satu pihak sahaja yang akan membekalkan benih padi sah kepada petani.

Menurutnya, langkah itu bertujuan menjamin bekalan benih mencukupi, tiada kelewatan pengedaran dan hanya benih yang berkualiti sahaja diedarkan kepada petani.

"Sebelum ini, kita bergantung kepada pembekal melalui pemberian kontrak dan tender mengikut zon yang ditetapkan, namun terdapat sedikit masalah dan ada pembekal kata kuota tidak cukup dan ada yang kata kuota sudah habis, jadi kita putuskan satu badan tunggal untuk kendalikannya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kementerian bercadang melakukan pembenihan awan susulan musim kemarau yang melanda negeri ini dan Perlis, Salahuddin berkata peruntukan untuk tujuan itu memang telah disediakan.

Menurutnya, kementerian sedia maklum mengenai kegusaran petani mengenai bekalan air untuk pertanian, namun beliau menjelaskan atas nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia pembenihan awan tidak dapat dilaksanakan ketika ini kerana keadaan awan yang tidak sesuai.

"Peruntukkan memang kita sudah ada, tetapi keadaan awan itu tidak sesuai dan kalau kita buat (pembenihan awan) juga ia akan membazir, jadi kita menunggu awan yang sesuai," katanya.

Pada majlis itu, 2,152 petani yang terjejas akibat ribut kesan daripada Taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China, menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM3.36 juta.

Ribut yang berlaku pada 9 dan 10 Ogos tahun lepas itu menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada 1,868 hektar tanaman padi di Kawasan Muda.

Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia merangkumi kawasan di negeri ini dan Perlis.

-- BERNAMA