Kementerian Kewangan selar tindakan sebuah akhbar arus perdana yang jadi agen penyebar berita palsu melalui laporan eksklusif muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, media tidak sepatutnya menjadi senjata untuk mempromosikan projek swasta yang belum mendapat kelulusan atau belum dipertimbang oleh kementerian berkaitan, Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

“Biarpun tidak ada sebarang pengesahan, namun akhbar milik MCA itu memilih untuk menyiarkan berita mengenai dua cadangan pembinaan lapangan terbang di Pulau Pinang.

“Kedua-dua Kerajaan Negeri Kedah, Kerajaan Pulau Pinang serta Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan juga tidak tahu-menahu mengenai projek yang dimaksudkan.

“Malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed sendiri mengesahkan dia hanya membaca cadangan berkenaan melalui laporan media,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Ini jelas bertentangan dengan apa yang dilaporkan dalam akhbar berkenaan yang turut membuat spekulasi bahawa salah satu penaja projek sudah membentangkan cadangan itu kepada Perdana Menteri pada 14 Januari lalu.

BACA: Kerajaan P. Pinang tidak tahu menahu cadangan lapangan terbang baharu - Ketua Menteri

Guan Eng berkata, Kerajaan menerima pelbagai cadangan yang mendakwa mempunyai sokongan kewangan bernilai ratusan bilion ringgit, namun itu semua perlu dinilai dan diselidik secara terperinci bagi membezakan antara yang tulen dan yang asli.

“Adakah (akhbar itu) akan menerbitkan semua cadangan ini sebagai tajuk muka depan setiap hari berdasarkan apa yang didakwa oleh sumber mereka semata-mata?” soalnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan sangat menghargai laporan yang profesional, bertanggungjawab dan beretika serta berasaskan kepada fakta.

Media juga perlu ketepikan sebarang berita tidak berasas, palsu dan tidak masuk akal yang hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam serta industri.

Ujarnya, kegagalan mengambil langkah-langkah sedemikian akan menjadikan akhbar arus perdana tidak ada bezanya dengan penyebar berita palsu atau hamba kepada pihak berkepentingan yang tidak memikirkan kesan daripada tindakan mereka.