Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Prof Mohammad Hashim Kamali pada Isnin dipilih sebagai penerima anugerah khas Hadhari Global Award 2019.

Turut menerima anugerah yang diberikan kepada individu-individu yang memberikan perkhidmatan cemerlang dan sumbangan besar kepada peningkatan tamadun Islam ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin.

Anugerah itu disampaikan oleh bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada satu majlis ringkas yang juga dihadiri Pengerusi Hadhari Global Network (Hadhari G-N) Profesor Dr Yasushi Kosugi.

Hadhari G-N adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mana sekretariat dikendalikan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi).

Mohammad Hashim, yang pada masa ini felow kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia telah membuat pembentangan di lebih 130 persidangan kebangsaan dan antarabangsa, menerbitkan 20 buku dan lebih 120 artikel akademik.

Sementara itu, Azizan yang dilantik Ketua Pengarah Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selaku ahli Jawatankuasa Bioetika Antarabangsa di Paris mempunyai pengkhususan di dalam beberapa bidang seperti bioetika, dialog antara agama dan antara ketamadunan, Islam dan sains, etika alam sekitar, juga agama dan pembangunan mapan.

Lain-lain penerima Global Hadhari Award termasuk Profesor Madya Dr Toshiyuki Takeda, Pengarah Kursus Bahasa Arab, Universiti Kyoto dan Dr Ayaka Kuroda daripada universiti sama pula menerima Anugerah Cemerlang untuk Kajian Tamadun Islam 2019.

Kosugi dalam ucapannya berkata penerima adalah dipilih berdasarkan beberapa syarat antaranya memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan sumbangan besar kepada peningkatan tamadun Islam.

Beliau berkata keutamaan diberikan kepada mereka yang berkhidmat di sektor kerajaan lebih dari 10 tahun dengan rekod yang bersih dan bebas daripada sebarang tindakan disiplin dan undang-undang.

-- BERNAMA