Tutup

Mohd Bakke nafi pernah sebut RM2.6 bilion adalah daripada 1MDB

Mohd Bakke nafi pernah sebut RM2.6 bilion adalah daripada 1MDB
MOHD BAKKE: Kenyataan saya kepada PAC tidak pernah dibincangkan di media sosial dan (saya) tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk membuat kenyataan mewakili diri saya.
KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh menafikan dakwaan kononnya beliau pernah menyebut bahawa wang RM2.6 bilion adalah daripada syarikat 1MDB.

Beliau menegaskan, kenyataan seumpama itu atau merujuk kepadanya atau berkarektor sebagaimana disebarkan melalui laman sosial, tidak pernah disebut atau dilafaz ketika keterangan beliau kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam siasatan mereka terhadap 1MDB.
"Kenyataan saya kepada PAC tidak pernah dibincangkan di media sosial dan (saya) tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk membuat kenyataan mewakili diri saya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Bakke mengulas tentang khabar angin yang disebarkan melalui laman sosial yang mendakwa kononnya beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa RM2.6 bilion adalah wang daripada 1MDB, ketika memberi keterangannya kepada PAC.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna laman sosial agar lebih berhati-hati terhadap sebarang sebaran spekulasi dan khabar angin tanpa pengesahan pihak yang sahih.

"Satu laporan polis akan turut dibuat dan saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang melakukan sebaran tidak benar, mengandungi ayat sama ada ia merujuk, berkait dan memfitnah saya serta individu yang dirujuk sebagai saya," katanya.