Seorang murid Tahun Enam maut setelah kereta yang dipandu bapanya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, sebelum merempuh sisi kanan sebuah lagi kenderaan di Jalan Batu 9, Lekir, di sini pada Selasa.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira 7.30 pagi, ketika mangsa yang dikenali sebagai Mohd Hafizudin Norsalnizam, 12, dan adiknya Norul Qistina Alisa Norsalnizam, 9, dalam perjalanan ke sekolah.

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, bapa mangsa, Norsalnizam Mat Nor, 44, cedera di kepala dan kaki manakala adiknya yang duduk di bahagian belakang, luka di bibir dan tangan.

"Lebih kurang 7.30 pagi, berlaku satu kemalangan maut di Jalan Batu 9 Lekir melibatkan dua buah kenderaan iaitu Proton Wira dan Proton Waja.

"Siasatan awal kemalangan ini berlaku apabila Proton Wira dari arah Kayan menghala ke Sitiawan. Manakala kenderaan Proton Waja dari Sitiawan hendak ke Kayan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu Proton Wira telah hilang kawalan dan memasuki laluan sebelah, akibat jarak yang terlalu dekat dia tidak sempat mengelak dan telah melanggar bahagian sisi kanan kereta.

"Akibat daripada kemalangan ini penumpang hadapan Proton Wira mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Akibat daripada kemalangan ini penumpang hadapan  Proton Wira mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

Katanya lagi, pemandu Proton Waja yang berusia 65 tahun itu cedera di bahagian kepala dan lutut.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu Proton Waja yang berusia 65 tahun itu cedera di bahagian kepala dan lutut. - Foto JBPM

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Tajol Ariff Ahmad berkata, pasukan bomba tiba di lokasi setelah menerima maklumat mengenai seorang mangsa tersepit manakala kanak-kanak lelaki meninggal dunia.

"Bomba menggunakan alatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit seterusnya menyerahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.