Remaja Malaysia yang dilaporkan hilang selepas insiden tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lepas masih belum ditemui.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh yang berada di sana berkata usaha mengesan Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, sedang dilakukan polis New Zealand berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibunya.

''Ibu Mohd Haziq kini ada bersama pihak polis untuk memberikan nama yang betul, gambar yang betul kerana memang ada mayat-mayat yang belum dikenal pasti, jadi mereka harus membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum ada apa-apa kenyataan daripada polis.

"Pada masa ini kami hanya berharap sesiapa yang ada maklumat mengenai Mohd Haziq agar memanjangkannya kepada kami," kata Phee sepertimana dilaporkan Bernama.

Sementara itu, Phee berkata seorang lagi mangsa, Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang pula telah selesai menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru daripada tubuhnya.

Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera iaitu Mohd Tarmizi Shuib, 46 dari Kedah dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dari Kelantan juga sedang menerima rawatan di hospital sama.

Mohd Haziq merupakan anak kepada Mohd Tarmizi.

Setakat ini, pihak berkuasa New Zealand mengesahkan 50 maut dan 20 cedera dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch.