Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Mohd Shukri menggantikan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletak jawatan dalam suruhanjaya tersebut pada Isnin lalu.

Pelantikan Mohd Shukri itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Menara Yayasan Selangor di sini, pada Khamis

"Shukri mempunyai pengalaman. Beliau duduk dalam SPRM dan mempunyai banyak maklumat.

"Beliau juga mempunyai sikap menentang tindakan-tindakan yang salah dalam SPRM selain peranan Datuk Seri Najib yang menghalang siasatan.

"Kita nak tahu secara terperinci apa sebenarnya yang berlaku?," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.

Mohd Shukri merupakan individu yang melengkapkan dua kertas siasatan berkaitan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Dalam siasatan itu, lebih 100 saksi diambil keterangan biarpun beliau akui banyak cabaran dan halangan yang dihadapi.

Malah, bagi kes dana RM2.6 bilion pihaknya turut peroleh keterangan pihak yang mendakwa sebagai penderma.

Pada 3 Oktober 2016, beliau memilih untuk bersara wajib dan jawatannya digalas oleh Datuk Seri Azam Baki.

Beliau bertindak kritis kepada kerajaan ketika itu apabila Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Rohaizad Yaakob dipindahkan serta merta selain memohon kedua-dua mereka ditugaskan kembali ke SPRM.

Mohd Shukri menyerahkan laporan siasatan itu pada 31 Disember 2015 kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Apandi Ali yang baru menjawat jawatan tersebut selepas Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan pada 27 Julai 2015.

Abdul Gani dikatakan menghidap sejenis penyakit yang telah memberi kesan kepada buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis.

Beliau ditamatkan perkhidmatan sebagai Peguam Negara sehari sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak merombak kabinetnya dengan mengugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri serta memecat seorang lagi menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga adalah Naib Presiden UMNO.

Malah, spekulasi bertiup kencang ketika itu bahawa Abdul Gani ditamatkan perkhidmatan kerana dikatakan hampir selesai menyiasat skandal 1MDB dan juga wang RM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke akaun bank peribadi Najib.

Najib menafikan sebarang salah laku dan mendakwa tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kegunaan peribadi.