Kerajaan Pulau Pinang meminta kerajaan Pusat untuk memberi cuti khas kepada kakitangan kerajaan bukan beragama Islam sepertimana yang diberikan kepada umat Islam untuk mengerjakan haji atau umrah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, permohonan cuti khas itu bagi membolehkan penganut bukan Islam menjalankan upacara keagamaan mereka.

Menurutnya, beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mempertimbangkan permohonannya itu.

"Kakitangan kerajaan bukan Islam juga perlu diberi cuti bergaji sekurang-kurangnya tujuh hari untuk upacara khusus keagamaan mereka, sama seperti untuk orang Islam iaitu 40 hari untuk pergi haji dan umrah.

"Saya ada tulis surat rasmi kepada perdana menteri beberapa bulan lalu tentang perkara ini. Permohonan ini bukan untuk Pulau Pinang sahaja, tetapi untuk negeri-negeri lain juga kerana kita menyuarakan hasrat rakyat Malaysia," katanya kepada media di Wadda Gurdwara Sahib, Jalan Gurdwara di sini pada Sabtu.

Setiausaha Agung DAP itu menambah, 11 amalan membabitkan kepentingan bukan Islam di Pulau Pinang akan diteruskan sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat menubuhkan kerajaan negeri pasca PRU14 ini.

"Seperti dalam Perlembagaan Persekutuan, kita akan teruskan 11 amalan itu antaranya peruntukan tahunan RM1.5 juta untuk Lembaga Wakaf Hindu (HEB) memastikan pemaju perumahan menyediakan luas tanah yang setimpal untuk tujuan keagamaan membabitkan kepentingan agama-agama bukan Islam dan peruntukan tahunan RM50,000 kepada Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia.

"Selain itu, kita akan mewujudkan Exco untuk Hal Ehwal Bukan Islam, yang dipengerusikan ketua menteri, penyediaan peruntukan dana kira-kira RM30 juta sejak 2008 dan menyerahkan bangunan di Jalan Mecalister kepada HEB Pulau Pinang untuk pengurusan hal ehwal penganut Hindu," katanya.