'Laporkan kepada pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)' .

Itu saranan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekiranya benar berlaku komplot atau monopoli dalam sesetengah bidaan projek kerajaan.

Guan Eng berkata, dakwaan itu sekiranya benar merupakan satu kesalahan serta penyelewengan yang melibatkan ketirisan dana awam sekali gus boleh diambil tindakan.

Katanya, mereka juga boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang bertanggungjawab secara langsung berhubung perkara tersebut.

"Sekiranya ada kes-kes sedemikian boleh dilaporkan kepada kerajaan, dilaporkan kepada SPRM, kerana ini adalah satu kesalahan. Kita kena ikut anggaran supaya ia lebih sepadan atau sama dengan harga pasaran.

"Sekiranya ada penyelewengan tentu tindakan akan diambil dan laporkan bukan sahaja kepada Kementerian Kerjaraya tetapi juga SPRM, biasanya tentang 'value engineering' untuk pastikan harga munasabah, jika mereka tahu, dalam hal ini mereka harus lakukan (melaporkannya)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Karnival Merdeka dan Komuniti Bagan sempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Puyu, di Butterworth pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai laporan sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit kini dalam siasatan MyCC kerana syarikat yang memenangi tender itu disyaki berkomplot dalam bidaan hingga menyebabkan ketirisan dana awam.

Laporan itu turut menyebut siasatan tersebut dibuat susulan aduan dan maklumat diterima MyCC mengenai taktik kontraktor dan pembekal yang membentuk komplot dalam pakatan untuk membuatkan sesuatu nilai kontrak menjadi lebih tinggi.