Kementerian Pengangkutan hari ini memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan khas ‘Malaysia 1-9999’ bagi memupuk semangat kecintaan kepada negara, kata menterinya Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, bidaan kepada nombor khas itu terbuka kepada orang awam, dan akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala tarikh bidaan akan bermula pada 2 Julai sehingga 16 Julai.

“Sebelum ini kebanyakan nombor khas hanya boleh dibida di pejabat JPJ di Kuala Lumpur, tetapi selepas berbincang, kita tak mahu terhad di KL sehaja, bidaan kini boleh dilaksanakan atau dihantar kepada mana-mana pejabat JPJ di negeri-negeri.

“Dan kita jangkakah pelaksanaan ini mampu menjana hasil yang tinggi kepada kerajaan,” katanya kepada sidang media di Putrajaya, di sini hari ini.

Katanya lagi, nombor Malaysia 1-9999 itu dilancarkan dengan tujuan memupuk semangat kecintaan kepada negara, selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini, iaitu 'Sayangi Malaysiaku', seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loke berkata, pihak kementerian menjangkakan nilai keseluruhan bidaan plat Malaysia boleh mencecah sehingga RM20 juta.

“Sebelum ini, nilai bidaan keseluruhan tertinggi ialah siri V iaitu sebanyak RM22.48 juta, diikuti siri F iaitu sebanyak RM17.55 juta. Bayangkan satu siri boleh mencecah purata RM20 juta.

“Bidaan tertinggi bagi kedua-dua siri ini ialah V1 iaitu sebanyak RM989,780, manakala F1 ialah RM836,660. Tetapi apabila saya periksa semula, nilai bidaan tertinggi untuk nombor plat tunggal ialah Patriot 1 (RM1.3 juta). Sayangnya ia tidak termasuk dalam dana kerajaan kerana siri ini diuruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya lagi.

Atas faktor itu, jelas ahli Parlimen Seremban itu lagi, kementerian telah membuat keputusan agar sebarang tawaran bidaan bagi nombor pendaftaran kenderaan khas hanya akan dipertanggungjawabkan kepada JPJ sahaja.

Katanya lagi, melalui cara itu, Kementerian Pengangkutan bukan sahaja membantu menjana pendapatan untuk Kerajaan Persekutuan, malah ianya juga akan memudahkan kementerian melaksanakan program-program berkaitan keselamatan jalan raya, pengangkutan awam dan sebagainya tanpa perlu bergantung banyak kepada Kementerian Kewangan.

Selain itu, Anthony menambah, nombor pendaftaran kenderaan khas yang menggunakan nama-nama negeri juga akan dilancarkan tidak lama lagi.

Turut dalam cadangan, ialah ‘customised plate numbers’ yang membolehkan orang awam menggunakan nama pilihan masing-masing untuk diletakkan di kenderaan mereka, namun cadangan itu masih di peringkat awal.