Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada Sabtu menafikan mesej yang tular di aplikasi Whatsapp berkaitan permohonan maklumat peribadi penggiat seni atau pemain industri yang sedang dikumpulkan oleh kementerian itu.

MOTAC, dalam kenyataan pada Sabtu, menasihatkan orang ramai untuk tidak memberi maklumat peribadi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Sekiranya pihak MOTAC ingin mendapatkan maklumat peribadi penggiat seni atau pemain industri, kementerian akan mendapatkannya menerusi persatuan dan melalui saluran rasmi MOTAC sahaja.

"MOTAC menggesa orang ramai agar tidak mempercayai mesej-mesej yang tular daripada scammer bagi membendung penularan berita palsu yang semakin meningkat kini," katanya.

Mesej yang tular itu meminta penggiat seni atau pemain industri untuk memberikan maklumat yang mengandungi data peribadi bagi mendapatkan bantuan daripada MOTAC.

-- BERNAMA