Seorang murid Tahun 6 putus kaki kanan selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di kilometer 46, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa Muhammad Zulhaikal Mohammad, 12, membonceng motosikal bersama dua lagi sebelum dilanggar secara berdepan.

Insiden dipercayai berlaku apabila Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil cuba memotong sebuah kenderaan.

Bagaimanapun sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu bertembung dengan motosikal jenis Suzuki Step yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dari arah bertentangan.


Penunggang motosikal Samri Said, 52, parah di bahagian kaki manakala anaknya Nur Farahiya Najwa Samri, 10, hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Kes disiasat mengikut 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.