Tutup

MRM tidak sepatutnya kutip royalti hak cipta di kedai kopi

MRM tidak sepatutnya kutip royalti hak cipta di kedai kopi
Tujuan utama pemasangan televisyen di kedai terbabit adalah untuk penyiaran perlawanan bola sepak dan bukannya muzik. - Gambar hiasan
KUCHING: Music Rights Malaysia Berhad (MRM) tidak sepatutnya mengutip bayaran royalti hak cipta daripada kedai-kedai kopi yang memasang televisyen di kedai mereka, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

Menurutnya, tujuan utama pemasangan televisyen di kedai terbabit adalah untuk penyiaran perlawanan bola sepak dan bukannya muzik.
"Kedai kopi adalah kedai makan untuk rakyat berpendapatan rendah dan pengutipan bayaran daripada kedai-kedai makan akan menyebabkan pindahan kos kepada pelanggan mereka.

"Lagipun sebarang usaha untuk meletakkan beban kewangan yang tidak perlu kepada rakyat, pada pandangan saya adalah sesuatu yang berlawanan dengan dasar kerajaan untuk menurunkan kos sara hidup rakyat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Bagaimanapun Chong berkata, perkara ini tidak termasuk kepada kedai kopi yang menyediakan set karaoke.

Sementara itu, Timbalan Menteri itu berkata tarif hak cipta yang dikenakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya sama.

Pada masa ini, MRM Berhad mengenakan tarif hak cipta yang sama untuk seluruh negara.

MRM Berhad adalah wakil kutipan royalti kepada empat syarikat yang memegang hak cipta terhadap hasil kerja muzik Malaysia iaitu Pelindung Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Pelaku Persembahan Rakaman Malaysia Sdn Berhad (PPM), Persembahan Umum Rakaman Malaysia Berhad (PPM) dan Pengutip Royalti Persembahan dan Hak Artis Berhad (PRISM).

-- BERNAMA