Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menafikan menjalankan sebarang aktiviti di kompleks beli-belah Ampang Park termasuk pelucutan dan penanggalan lengkapan serta kerja-kerja lain.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan MRT Corp Datuk Najmuddin Abdullah berkata walaupun MRT Corp akan mengambil kompleks beli-belah itu bagi pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), proses mengambil balik tanah masih berjalan dan belum selesai.

"Memandangkan proses pengambilan tanah masih belum selesai, MRT Corp tidak mempunyai hak milik ke atas Ampang Park dan tidak dapat mengawal apa yang sedang berlaku kepada bangunan mahupun aktiviti yang sedang berlaku di dalam bangunan.

"Pelucutan lekapan dan kelengkapan tidak sepatutnya berlaku kerana proses pengambilan tanah telah menentukan kuantum pampasan kepada pemilik termasuk semua lekapan dan kelengkapan di dalam bangunan," katanya dalam kenyataan balas berhubung laporan media sosial berkenaan aktiviti-aktiviti yang sedang dijalankan di kompleks beli-belah itu, pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, MRT Corp telah membuat laporan polis pada 3 Jan lepas mengenai kegiatan berkenaan serta mengambil berat aktiviti yang boleh membahayakan orang ramai tersebut.

"Kami menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan bagi menghentikan aktiviti-aktiviti ini daripada berlanjutan dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa sekiranya perlu," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut syarikat itu MRT Corp hanya boleh mengambil alih dan mengawal bangunan sepenuhnya selepas proses pengambilan tanah oleh Jabatan Tanah dan Galian selesai.

Tanah kompleks beli-belah Ampang Park itu diambil bagi membolehkan pembinaan terowong dan sebuah stesen bawah tanah MRT laluan SSP, satu-satunya stesen yang membolehkan penumpang bertukar dengan mudah antara MRT laluan SSP dan LRT laluan Kelana Jaya.

MRT laluan SSP dijangka memberi perkhidmatan harian kepada 529,000 penumpang apabila siap.

Fasa pertama laluan antara Sungai Buloh dan Kampung Batu dijangka siap pada suku kedua 2021 dan laluan keseluruhan dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2022.

-- BERNAMA