Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar daerah Muar dilanda banjir kilat termasuk di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Pengarah HPSF, Dr Muhammad Yusof Sibert berkata, banjir kilat itu berpunca daripada air pasang besar dan ditambah dengan hujan lebat yang berterusan.

Beliau berkata, situasi itu mengakibatkan kawasan tempat letak kereta, kawasan koridor pintu masuk utama hospital serta sebuah wad ortopedik yang berada di aras bawah dinaiki air.

Bagaimanapun, ujar Dr Muhammad Yusof, tiada pesakit yang terpaksa dipindahkan dan operasi hospital berjalan seperti biasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang bulan ini, sudah tiga kali kawasan hospital itu dinaiki air namun, ini merupakan kejadian terburuk ekoran turut menjejaskan wad pesakit di aras bawah.



Katanya, meskipun paras air tidak tinggi dan hanya berlaku dalam tempoh tiga jam sejak pukul 7 pagi tadi, pihaknya akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menempatkan pesakit ke ruangan wad yang berada di aras atas ataupun memindahkan pesakit ke Hospital Tangkak.

Sementara itu, jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muar dalam kenyataannya memaklumkan, 21 kawasan dinaiki air susulan hujan lebat melebihi 60 milimeter mulai pukul 4 pagi tadi.

Ujarnya, setakat ini sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani dan agensi berkaitan masih menjalankan pemantauan termasuk mengenalpasti jumlah mangsa terjejas.